Tuesday, April 16, 2013

MULAKAN DENGAN BISMILLAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Perkataan ini amat simple dan sederhana, sehingga sebahagian kita kemungkinan tidak peduli terhadapnya atau mengabaikan untuk menyebutnya di saat memulakan suatu pekerjaan atau menyebutnya dengan selamba dan tidak menghadirkan dengan hati. Padahal jikalau kita merenungi dan bertadabbur sedikit, berhenti sejenak pada setiap perkataannya maka kita pasti  akan mendapati di sebaliknya mengandungi formula dan sumber kejayaan seorang muslim di dunia mahupun di akhirat. Mengapakah demikian?

Dalam kehidupan seorang muslim, tidak ada yang diharapkan olehnya melainkan apa yang dilakukan mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Untuk mendapat keberkatan tersebut seyogianya yang patut dilakukan oleh seorang muslim sebelum memulakan pekerjaannya adalah dengan menyebut nama Allah atau membaca bismillah. Dengan begitu apa yang dilakukan tidaklah sia-sia tanpa sebarang manfaat yang kembali kepadanya, untuk dunianya mahupun akhiratnya. Sebabnya dalam kamus seorang muslim, perkara sia-sia tidak mesti wujud dalam hidupnya hatta perkara yang pada zahirnya kelihatan tidak mendatangkan manfaat seperti masuk tandas. Ianya akan bermanfaat apabila melakukannya dengan nama Allah SWT.

Memulakan sesuatu dengan nama Allah telah ditetapkan melalui firman Allah SWT di dalam al quran dan juga melalui sabda Rasulullah SAW.

Pertama: Firman Allah SWT; فكلوا مما ذكروا اسم الله عليه, maksudnya: "Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'am, 6: 118)

Kedua: Firman Allah SWT; وقال اركبوا فيها بسم الله مجراها ومرساها, maksudnya: "Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh: "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: "Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya." (Hud, 11: 41)

Ketiga: Rasulullah SAW bersabda: أغلق بابك واذكر اسم الله و اطفئ مصابحك و اذكر اسم الله و خمر إناء واذكر اسم الله و أوك سقاءك واذكر اسم الله, ertinya: "Tutuplah pintu dengan menyebut nama Allah, padamkan lampumu dengan menyebut nama Allah, tutuplah kendimu dengan menyebut nama Allah dan iringi minummu dengan menyebut nama Allah." (Ibn Hibban)

Kempat: Rasulullah SAW bersabda: "كل أمر ذي بال لا يبدأ ببسم الله الرحمن الرحيم أقطع" maksudnya: "setiap perkara yang baik-baik yang tidak dimulakan dengan bismillah maka akan terputus keberkatannya." (Al Rahawi dan al Sayuti)

Darimanakah datangnya keberkatan melalui perkataan ini?
Dalam perkataan ini terdapat tiga kata yang begitu agung iaitu Allah, al Rahman dan al Rahim. Al Rahman merupakan nama lain bagi Allah dan al Rahim merupakan sifat bagiNya. Namun kata al Rahman dan al Rahim dipetik dari asal kata yang sama iaitu rahima yang bermaksud kasih, sayang, bahagia dan sebagainya. Daripada sini juga asal perkataan rahim yang ada pada seorang wanita.

Walaupun kedua-dua kata al Rahman dan al Rahim berasal dari kata yang sama namun kedua-duanya mengandungi perbezaan yang amat luas yang akan saya jelaskan pada kesempatan yang lain.

Daripada sini kita mesti memahami bahawa tiada satu pergerakan di dunia mahupun di langit melainkan dengan kasih sayang Allah SWT. Bergeraknya dahan-dahan pokok, turunnya hujan ke bumi, pergerakan bulan dan bumi, melatanya haiwan di bumi, mengalirnya air sungai, berombaknya laut, di saat kita makan, minum, bekerja bahkan kesemua pergerakkan yang wujud dan masuknya seorang beriman ke dalam syurga sekalipun disebabkan oleh rahmat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "لا يدخل أحدكم الجنة بعمله ، قالوا: ولا انت يا رسول الله؟ قال:  ولا انا الا اي يتغمدني الله منه برحمة و فضل. Maksudnya: "Tidak masuk salah seorang kamu ke dalam syurga dengan amalannya." Mereka (sahabat) bertanya: "Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Ya, aku juga melainkan Allah mencucurkan rahmat dan kurniaanNya kepadaku." (Imam Ahmad)

Maknanya di saat kita melakukan suatu amalan dengan menyebut nama Allah maka pada saat itu kita telah membuat suatu pengakuan di hadapan Allah SWT, iaitu:

Satu; kita membuat pengakuan bahawa kita ini lemah yang tidak memiliki sedikitpun kekuatan yang membolehkan kita untuk melakukan sesuatu melainkan meminta kepada Allah SWT. Seakan-akan tatkala kita memulakan apa jua pekerjaan dengan membaca bismillah maka di saat itulah kita telah menyatakan "Ya Allah, hambamu ini lemah justeru berilah kepadaku kekuatan dengan namaMu dan sifatMu yang Maha Kasih agar aku boleh menyempurnakan kerjaku ini." Oleh itu di saat kita mencapai kejayaan di dalam pekerjaan maka janganlah kita berlaku sombong dengan menyangka bahawa ia semata-mata kerana usahanya atau dengan mengatakan "akulah yang merancang dan membuatnya semata."Akan tetapi hendaklah dia mengatakan sebagaimana Nabi Sulaiman berkata: "Hazha min fadli Rabbi" , ini adalah kurniaan daripada Allah SWT.

Dua; tatkala kita menyebut bismillah maka kita telah mengiktiraf bahawa diri kita ini adalah hamba yang tidak dapat melakukan sedikitpun amalan ibadah melainkan dengan rahmat Allah SWT. Pada masa seorang muslim itu meletakkan dirinya dalam kedudukan hamba maka pada masa itulah dia berada dalam kedudukan yang tinggi kerana dia adalah orang paling dekat dengan Allah SWT.

Apabila kedua-duanya telah tertanam dalam jiwa maka ianya akan menarik kasih sayang Allah SWT. Ketika itu Allah akan mencucurkan rahmatNya kepadanya, lantas kehidupannya penuh dengan keberkatan disebabkan hidupnya diiringi dengan cinta Allah SWT.

Namun sebaliknya, apabila kita memulakan suatu pekerjaan tidak menyebut nama Allah maka keberkatannya akan terputus. Mengapakah demikian? Imam Syakrawi menyatakan bahawa sebabnya:

Satu; kerana amalan yang tidak disertai nama Allah pasti amalannyaa itu ada kekurangannya dan suatu yang kurang adalah perkara yang telah hilang iaitu hilang keberkatannya. Ianya bersumberkan daripada amalannya itu yang telah memperdayakan dan menipunya dengan memasukkan keyakinan dalam diri bahawa dialah yang telah menundukkan amalan itu.

Dua; ketika tidak menyebut nama Allah maka dia tidak dapat ganjaran di hari akhirat dan hanya mendapat ganjaran duniawi sahaja. (Sedangkan ganjaran duniawi hanya bersifat sementara dan fana).

Tiga; apabila amalan yang kita kerjakan dengan tidak menyebut nama Allah maka amalan yang kita lakukan diiringi dengan kemarahan Allah SWT. (Akhirnya keberkatan amalan itupun akan ditarik oleh Allah SWT. Tidak semestinya natijah kemarahan Allah itu dengan menggagalkannya dalam pekerjaannya namun boleh jadi Allah memberikan kejayaan demi kejayaan kepadanya dan memberikan apa sahaja yang dia inginkan, akan tetapi pada masa itu dia semakin jauh dari Allah lalu kehidupannya pun telah menjadi hamba dunia. Inilah yang dinamakan dengan istidraj).

Marilah kita selalu mengiringi amalan kita dengan menyebut nama Allah SWT agar kita mendapat ganjaran duniawi dan ukhrawi, agar keberkatan menyelimuti setiap amalan kita dan agar amalan kita terhindar dari kemurkaan Allah SWT.

WALLAHU A'LAM BI AL SAWAB
AL FAQIR ILA ALLAH

15 APRIL 2013


MUHAMMAD MUKHLIS YUNUS

Sumber rujukan
1. Tafsir al Syakrawi
2. Tafsir al Qurtubi
3. Musnad Imam Ahmad
4. Sahih Ibn Hibban.
5. Al Jamik al Saghir.
6. Al Rahawi
7. Kanzul 'Ummal fi Sunan al Aqwal wa Al Af'al.

No comments:

Post a Comment