Friday, April 26, 2013

DISEBALIK PERKATAAN BISMILLAH

Bismillahirrahmanirrahim

Allah SWT dan RasulNya memerintahkan kita untuk memulakan suatu amalan dengan menyebut nama Allah SWT. Walaupun perintah ini dalam bentuk galakkan ataupun sunnah namun sebagai orang yang beriman tidak sepatutnya ia ditinggalkan kerana kita sangat memerlukan amalan tersebut sebagai bekalan yang memberikan manfaat di dunia dan di akhirat.

Untuk menjadikan amalan tersebut bermanfaat atau ada nilainya di sisi Allah SWT maka tiada jalan lain melainkan amalan yang kita buat mestilah menyebut namaNya. Tanpa menyebut nama Allah, apa sahaja amalan yang dilakukan tidak akan mendatangkan manfaat dan tidak ada nilainya di sisi Allah walau banyak sekalipun. Mengapakah Allah dan RasulNya memerintahkan kita untuk menyebut nama Allah SWT dalam setiap amalan yang kita kerjakan? Terdapat tiga aspek yang boleh menjadi faktor utama kita diperintahkan untuk menyebut nama Allah dalam setiap amalan kita iaitu:

Satu: Dari aspek kelebihan yang ada pada Bismillah.
Dua: Dari aspek makna yang terkandung dalam Bismillah.
Tiga: Dari aspek makna yang terkandung dalam kata Al Rahman dan al Rahim.

Satu: Dari aspek kelebihan perkataan Bismillahirrahmanirrahim.

Terdapat beberapa kelebihan perkataan Bismillahirrahmanirahim di antaranya:

1. Ibn Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang mahu selamat daripada sembilan belas malaikat Zabaniyah maka hendaklah dia membaca Bismillahirrahmanirrahim kerana Allah SWT menjadikan setiap huruf daripadanya sebagai pelindung dari setiap malaikat tersebut. Basmalah terdiri dari sembilan belas huruf bersesuaian dengan bilangan malaikat
Penyeksa dalam api neraka yang telah dijelaskan oleh Allah SWT melalui firmanNya dalam surah al Muddaththir ayat 30: عليها تسعة عشر , maksudnya: "Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas." Mereka yang mendapat keistimewaan ini adalah yang mengatakan Bismillahirrahmanirrahim pada setiap amalan yang dilakukannya. Dari sinilah kekuatan mereka dan dengan perkataan Bismillah mereka selalu dan berterusan meminta agar dapat menolong mereka. (Al Qurtubi)

2. Rasulullah SAW bersabda: "Jikalau kamu terjatuh dari kenderaan kamu maka janganlah mengatakan "celaka syaitan" kerana ia akan membesar sehingga menjadi seperti rumah, akan tetapi katakanlah Bismillahirrahmanirrahim kerana ia akan mengecil sehingga menjadi seperti lalat." (Imam Ahmad)

Dua: Dari aspek makna yang terkandung dalam Bismillah.

Sayyid Qutb menyatakan bahawa memulakan dengan Bismillah merupakan adab yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada RasulNya melalui firmanNya yang pertama sekali diturunkan iaitu: اقرأ باسم ربك الذي خلق . Perkara ini bertepatan dengan kaedah yang digambarkan oleh Islam yang menyatakan bahawa Dia SWT (الاول والظاهر و الباطن). Dia SWT merupakan Zat Yang kewujudanNya adalah haq yang segala kewujudan yang ada mengambil daripadaNya dan daripadaNya bermulanya permulaan segala sesuatu. Jadi dengan namaNya terjadi segala permulaan dan dengan namaNya berlaku setiap pergerakan serta setiap arah.

Imsm Syakrawi menyatakan, maknanya segala sesuatu di dalam dunia ini dengan nama Allah dan menjadi sempurna dengan namaNya dan dengan izinNya. Dari sini kita dapat memahami bahawa segala pergerakan yang wujud di dunia ini termasuk setiap pergerakan yang dilakukan oleh manusia bukanlah bergerak dengan sendirinya akan tetapi kerana izin, Qudrah dan Iradah Allah SWT. Hal ini menggambarkan akan kelemahan dan ketidakberupayaan kita yang perlu dihayati dan diyakini dalam hati sehingga hasilnya kita tidak menjadi hamba yang sombong di muka bumi dengan apa yang dianugerahkan kepada kita.

Selain itu perintah untuk menyebut nama Allah kepada orang yang beriman pada setiap apa yang dilakukannya agar kehidupannya tidak seperti kehidupan orang yang tidak beriman. Orang yang tidak beriman kepada Allah tidak akan menyebut nama Allah setiap kali memulakan pekerjaannya kerana di dalam hatinya hanya menginginkan material sahaja dan tidak mengejar melainkan duniawi. Melalui sifat Rububiyah Allah SWT, Dia tetap akan memberikan sesiapa sahaja yang menginginkan dunia tetapi dunia bukanlah kehidupan yang sebenarnya bagi manusia bahkan tiada nilainya di sisi Allah SWT.

Imam Syakrawi menyatakan, kehidupan dunia bukanlah kehidupan yang sebenar bagi manusia, tetapi akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. Bagi orang yang dalam mindanya hanya mahukan dunia maka dia hanya mengambil sekadar yang diberikan dari sifat Rububiyah Allah SWT di dunia. Namun orang yang dalam fikiran dan jiwanya hanya mahukan Allah maka dia telah mengambil pemberian Allah di dunia mahupun di akhirat. Oleh sebab itu Allah SWT berfirman: (الحمد لله الذي له مافي السماوات و ما في الأرض و له الحمد في الآخرة وهو الحكيم الخبير)، maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala apayang ada di langit dan di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dialah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya." (Saba', 34: 1). Seorang mukmin akan memuji Allah terhadap nikmatNya di dunia kemudian memujiNya tatkala menyelamatkannya dari seksa azab serta memasukkannya dalam syurga, oleh yang demikian maka bagi Allah lah segala pujian di dunia mahupun di akhirat.

Oleh itu membaca Bismillah pada setiap apa yang dilakukan akan mendapat dua, iaitu akan mendapat sifat reda terhadap dunia yang diiginkannya dan akan mendapat akhirat sebagaimana yang diharapkannya.

Tiga: Dari aspek makna yang terkandung dalam perkataan al Rahman al Rahim.

Al Rahman mengandungi makna bahawa Allah SWT Maha Sayang kepada makhlukNya dengan sama rata, tidak hanya kepada orang Isam akan tetapi kepada orang bukan Islam bahkan kepada makhluk ciptaanNya.

Hal ini berbeza dengan sifat al Rahim yang mengandungi makna bahawa Allah Maha Kasih dan kasihnya Allah SWT hanya diberikan kepada orang yang beriman. Oleh sebab itu sebahagian ulama mengatakan bahawa Allah SWT Rahman al dunya yang bermakna rahmat Allah di dunia dan Rahim al akhirat yang bermakna rahmat Allah di hari akhirat.

Indikatornya, kedua perkataan ini menceritakan tentang rahmat Allah SWT yang amat luas sehingga manusia tidak boleh berputus asa daripada rahmatNya. Manusia tidak perlu merasa malu untuk memulakan dengan menyebut nama Allah walaupun dia telah melakukan dosa yang banyak dan walaupun dia telah banyak melanggar perintah Allah SWT.

Manusia perlu memahami bahawa Allah SWT tidak pernah membiarkan begitu sahaja orang yang telah menderhaka kepadaNya tetapi Dia selalu membuka pintu taubat kepada sesiapa yang ingin bertaubat dan akan menghapuskan segala dosanya, sebabnya Allah bersifat al Rahman dan al Rahim.

Bahkan sebaliknya di mana Allah SWT sangat murka kepada mereka yang tidak mahu meminta dan berdoa agar mendapat rahmat daripada Allah baik di dunia mahupun di akhirat. Di antara salah satu makna al Rahman dan al Rahim yang dinukilkan oleh Al Imam al Qurtubi di dalam tafsirnya al Jamik fi Ahkam al Quran adalah bahawa al Rahman bermakna apabila diminta pasti Dia akan memberi sedangkan al Rahim bermakna apabila Dia tidak diminta pasti akan murka. Hal ini telah disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda: من لم يسأل الله يغضب عليه ، maksudnya: "Sesiapa yang tidak meminta kepada Allah SWT pasti Dia akan murka kepadanya." (Al Tirmizi). Dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: من لم يدع الله غضب عليه ، maksudnya: "Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah SWT pasti Dia akan murka kepadanya." (Ibn Majah)

Mengapakah Allah SWT murka kepada mereka yang tidak mahu meminta atau berdoa kepadaNya? Ini kerana mereka yang tidak mahu meminta kepadaNya atau berdoa memohon kepadaNya seakan-akan tidak memerlukan kepada kekuatan Allah untuk melakukan sesuatu. Dia menganggap dirinya merasa sudah cukup sempurna atau sudah cukup selesa dengan apa yang telah dimilikinya. Perasaan seperti ini datang kerana hati dan kehidupannya telah dipenuhi rasa cinta kepada dunia sehingga menjadi hamba dunia lalu lahir rasa sombong dan bongkak. Natijah dari sifat ini dia tidak mahu lagi meminta atapun berdoa.

Untuk mengelak daripada kemurkaan Allah SWT maka paling kurang kata Syeikh Syakrawi hendaklah seorang itu memulakan setiap apa yang dilakukan dengan membaca Bismillah, kerana ia menghalangnya daripada melakukan sesuatu amalan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Sudah tentu kita tidak mahu di saat kita memulakan suatu amalan maka di saat itu adanya kemurkaan Allah SWT lantaran tidak membaca Bismillah.

Syeikh Syakrawi menambah lagi bahkan apabila seseorang itu mahu mencuri sekalipun atau minum arak atau melakukan apa jua kejahatan maka hendaklah dia membaca Bismillahirrahmanirrahim. Sebabnya kalimah ini akan menghalangnya daripada melakukan kejahatan tersebut atau membuka hatinya untuk bertaubat. Ianya hasil dari keberkatan yang ada pada perkataan al Rahman dan al Rahim.


26 April 2013
Al faqir ilaAllah

Muhammad Mukhlis Yunus

Rujukan
1. Imam al Qurtubi, al jami' li ahkam al quran
2. Sayyid Qutb, fi zilal al quran
3. Syeikh Syakrawi.
4. Sunan Ibn Majah.
5. Sunan al Tirmizi.

Tuesday, April 16, 2013

MULAKAN DENGAN BISMILLAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Perkataan ini amat simple dan sederhana, sehingga sebahagian kita kemungkinan tidak peduli terhadapnya atau mengabaikan untuk menyebutnya di saat memulakan suatu pekerjaan atau menyebutnya dengan selamba dan tidak menghadirkan dengan hati. Padahal jikalau kita merenungi dan bertadabbur sedikit, berhenti sejenak pada setiap perkataannya maka kita pasti  akan mendapati di sebaliknya mengandungi formula dan sumber kejayaan seorang muslim di dunia mahupun di akhirat. Mengapakah demikian?

Dalam kehidupan seorang muslim, tidak ada yang diharapkan olehnya melainkan apa yang dilakukan mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Untuk mendapat keberkatan tersebut seyogianya yang patut dilakukan oleh seorang muslim sebelum memulakan pekerjaannya adalah dengan menyebut nama Allah atau membaca bismillah. Dengan begitu apa yang dilakukan tidaklah sia-sia tanpa sebarang manfaat yang kembali kepadanya, untuk dunianya mahupun akhiratnya. Sebabnya dalam kamus seorang muslim, perkara sia-sia tidak mesti wujud dalam hidupnya hatta perkara yang pada zahirnya kelihatan tidak mendatangkan manfaat seperti masuk tandas. Ianya akan bermanfaat apabila melakukannya dengan nama Allah SWT.

Memulakan sesuatu dengan nama Allah telah ditetapkan melalui firman Allah SWT di dalam al quran dan juga melalui sabda Rasulullah SAW.

Pertama: Firman Allah SWT; فكلوا مما ذكروا اسم الله عليه, maksudnya: "Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'am, 6: 118)

Kedua: Firman Allah SWT; وقال اركبوا فيها بسم الله مجراها ومرساها, maksudnya: "Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh: "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: "Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya." (Hud, 11: 41)

Ketiga: Rasulullah SAW bersabda: أغلق بابك واذكر اسم الله و اطفئ مصابحك و اذكر اسم الله و خمر إناء واذكر اسم الله و أوك سقاءك واذكر اسم الله, ertinya: "Tutuplah pintu dengan menyebut nama Allah, padamkan lampumu dengan menyebut nama Allah, tutuplah kendimu dengan menyebut nama Allah dan iringi minummu dengan menyebut nama Allah." (Ibn Hibban)

Kempat: Rasulullah SAW bersabda: "كل أمر ذي بال لا يبدأ ببسم الله الرحمن الرحيم أقطع" maksudnya: "setiap perkara yang baik-baik yang tidak dimulakan dengan bismillah maka akan terputus keberkatannya." (Al Rahawi dan al Sayuti)

Darimanakah datangnya keberkatan melalui perkataan ini?
Dalam perkataan ini terdapat tiga kata yang begitu agung iaitu Allah, al Rahman dan al Rahim. Al Rahman merupakan nama lain bagi Allah dan al Rahim merupakan sifat bagiNya. Namun kata al Rahman dan al Rahim dipetik dari asal kata yang sama iaitu rahima yang bermaksud kasih, sayang, bahagia dan sebagainya. Daripada sini juga asal perkataan rahim yang ada pada seorang wanita.

Walaupun kedua-dua kata al Rahman dan al Rahim berasal dari kata yang sama namun kedua-duanya mengandungi perbezaan yang amat luas yang akan saya jelaskan pada kesempatan yang lain.

Daripada sini kita mesti memahami bahawa tiada satu pergerakan di dunia mahupun di langit melainkan dengan kasih sayang Allah SWT. Bergeraknya dahan-dahan pokok, turunnya hujan ke bumi, pergerakan bulan dan bumi, melatanya haiwan di bumi, mengalirnya air sungai, berombaknya laut, di saat kita makan, minum, bekerja bahkan kesemua pergerakkan yang wujud dan masuknya seorang beriman ke dalam syurga sekalipun disebabkan oleh rahmat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "لا يدخل أحدكم الجنة بعمله ، قالوا: ولا انت يا رسول الله؟ قال:  ولا انا الا اي يتغمدني الله منه برحمة و فضل. Maksudnya: "Tidak masuk salah seorang kamu ke dalam syurga dengan amalannya." Mereka (sahabat) bertanya: "Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Ya, aku juga melainkan Allah mencucurkan rahmat dan kurniaanNya kepadaku." (Imam Ahmad)

Maknanya di saat kita melakukan suatu amalan dengan menyebut nama Allah maka pada saat itu kita telah membuat suatu pengakuan di hadapan Allah SWT, iaitu:

Satu; kita membuat pengakuan bahawa kita ini lemah yang tidak memiliki sedikitpun kekuatan yang membolehkan kita untuk melakukan sesuatu melainkan meminta kepada Allah SWT. Seakan-akan tatkala kita memulakan apa jua pekerjaan dengan membaca bismillah maka di saat itulah kita telah menyatakan "Ya Allah, hambamu ini lemah justeru berilah kepadaku kekuatan dengan namaMu dan sifatMu yang Maha Kasih agar aku boleh menyempurnakan kerjaku ini." Oleh itu di saat kita mencapai kejayaan di dalam pekerjaan maka janganlah kita berlaku sombong dengan menyangka bahawa ia semata-mata kerana usahanya atau dengan mengatakan "akulah yang merancang dan membuatnya semata."Akan tetapi hendaklah dia mengatakan sebagaimana Nabi Sulaiman berkata: "Hazha min fadli Rabbi" , ini adalah kurniaan daripada Allah SWT.

Dua; tatkala kita menyebut bismillah maka kita telah mengiktiraf bahawa diri kita ini adalah hamba yang tidak dapat melakukan sedikitpun amalan ibadah melainkan dengan rahmat Allah SWT. Pada masa seorang muslim itu meletakkan dirinya dalam kedudukan hamba maka pada masa itulah dia berada dalam kedudukan yang tinggi kerana dia adalah orang paling dekat dengan Allah SWT.

Apabila kedua-duanya telah tertanam dalam jiwa maka ianya akan menarik kasih sayang Allah SWT. Ketika itu Allah akan mencucurkan rahmatNya kepadanya, lantas kehidupannya penuh dengan keberkatan disebabkan hidupnya diiringi dengan cinta Allah SWT.

Namun sebaliknya, apabila kita memulakan suatu pekerjaan tidak menyebut nama Allah maka keberkatannya akan terputus. Mengapakah demikian? Imam Syakrawi menyatakan bahawa sebabnya:

Satu; kerana amalan yang tidak disertai nama Allah pasti amalannyaa itu ada kekurangannya dan suatu yang kurang adalah perkara yang telah hilang iaitu hilang keberkatannya. Ianya bersumberkan daripada amalannya itu yang telah memperdayakan dan menipunya dengan memasukkan keyakinan dalam diri bahawa dialah yang telah menundukkan amalan itu.

Dua; ketika tidak menyebut nama Allah maka dia tidak dapat ganjaran di hari akhirat dan hanya mendapat ganjaran duniawi sahaja. (Sedangkan ganjaran duniawi hanya bersifat sementara dan fana).

Tiga; apabila amalan yang kita kerjakan dengan tidak menyebut nama Allah maka amalan yang kita lakukan diiringi dengan kemarahan Allah SWT. (Akhirnya keberkatan amalan itupun akan ditarik oleh Allah SWT. Tidak semestinya natijah kemarahan Allah itu dengan menggagalkannya dalam pekerjaannya namun boleh jadi Allah memberikan kejayaan demi kejayaan kepadanya dan memberikan apa sahaja yang dia inginkan, akan tetapi pada masa itu dia semakin jauh dari Allah lalu kehidupannya pun telah menjadi hamba dunia. Inilah yang dinamakan dengan istidraj).

Marilah kita selalu mengiringi amalan kita dengan menyebut nama Allah SWT agar kita mendapat ganjaran duniawi dan ukhrawi, agar keberkatan menyelimuti setiap amalan kita dan agar amalan kita terhindar dari kemurkaan Allah SWT.

WALLAHU A'LAM BI AL SAWAB
AL FAQIR ILA ALLAH

15 APRIL 2013


MUHAMMAD MUKHLIS YUNUS

Sumber rujukan
1. Tafsir al Syakrawi
2. Tafsir al Qurtubi
3. Musnad Imam Ahmad
4. Sahih Ibn Hibban.
5. Al Jamik al Saghir.
6. Al Rahawi
7. Kanzul 'Ummal fi Sunan al Aqwal wa Al Af'al.